“Dulu mereka pembunuh, perompak…” – 30 banduan penjara Marang bergelar hafiz Al-Quran



Selagi pintu taubat belum tertutup, selagi itulah kita sebagai umat manusia berpeluang untuk memperbaiki diri menjadi seorang insan yang lebih baik.

Menerusi laporan Berita Harian, Ustaz Ariff Udin yang berkhidmat sebagai Pembantu Hal Ehwal Islam,di Penjara Marang, memaklumkan sehingga kini sudah terdapat 30 banduan berjaya bergelar hafiz Al-Quran.

Sentiasa ada peluang kedua
Pencapaian itu sungguh membanggakan baginya, Ustaz Ariff Udin, berkata, ada dalam kalangan banduan tersebut bermula dengan tiada langsung ilmu agama.

“Memang benar dalam kalangan banduan ini, ada yang pernah jadi pembunuh, perompak dan melakukan segala perbuatan jijik, tetapi ia tidak bermakna pengakhiran mereka adalah di neraka…”


Banduan berjaya bergelar hafiz Quran
Namun, dengan suntikan semangat dan ilmu yang diberikan, mereka terbuka pintu hati untuk mempelajari ilmu agama, sehingga berjaya menghafal 30 juzuk Al-Quran.

“Melihatkan kesungguhan mereka, maka betullah apa yang saya jangka banduan boleh berubah. Di Penjara Marang ini, ada 30 orang yang bergelar hafiz atau paling kurang menguasai lima juzuk al-Quran…”


Masa dihabiskan dalami ilmu agama
Berdasarkan tinjauan BERNAMA, antara rutin harian para penghuni di situ adalah mereka akan membaca al-Quran dengan rutin itu berlaku setiap hari bermula 9 pagi hingga 3 petang, bukan hanya pada Ramadan.



Malah, terdapat dalam kalangan penghuni mempunyai sikap baik dan tertib meskipun berlatar belakang kesalahan jenayah berat seperti membunuh.

Banyak kali khatam Quran
Kasim (bukan nama sebenar), 53, merupakan antara banduan yang sudah beberapa kali khatam al-Quran sejak dimasukkan ke penjara pada 2004 atas kesalahan merogol anaknya sendiri.



Menurut Kasim, mengakui dia dahulunya begitu jahil, sangat menyesali perbuatan jijiknya terhadap anak perempuan semata-mata terlalu mengikut hawa nafsu.

“Saya memohon ampun pada semua termasuk lima anak saya dan saya juga menceraikan isteri untuk membolehkannya menjalani kehidupan lebih baik…”

Kini selepas hampir 16 tahun di penjara, Kasim mula berubah menjadi insan yang lebih dengan bimbingan para ustaz, sehingga dia juga menjadi penyuntik semangat buat para banduan lain untuk sentiasa berfikiran positif dan istiqamah.

Sumber : Berita Harian