HUKUM ZIKIR ALLAH ALLAH


HUKUM ZIKIR ALLAH ALLAH
SOALAN :
Adakah harus kita berzikir sebut Allah sahaja kerana ada orang yang mengatakan tidak harus kerana sebut Allah sahaja tidak ada makna katanya dan tidak ada faedah?
JAWAPAN :
Hendaklah diketahui arti zikir pada masalah ini ialah sebut maka orang yang berzikir akan Allah artinya orang yang menyebut akan Allah.
DALIL AL-QURAN
Allah Taala telah berfirman :
قُلِ ادْعُوا اللَّهَ أَوِ ادْعُوا الرَّحْمٰنَ ۖ أَيًّا مَّا تَدْعُوا فَلَهُ الْأَسْمَآءُ الْحُسْنٰى ۚ
Artinya : “Katakanlah serulah kamu semua akan Allah atau serulah akan Rahman. Mana satu nama yang kamu seru maka bagi Allah itu nama-nama yang indah.” (Al-Israk : 110)
Berkata Syeikh Tantowi :
والمعنى : قل يا محمد للناس : سموا المعبود بحق بلفظ الله أو بلفظ الرحمن بأى واحد منهما سميتموه فقد أصبتم
Artinya : “Dan maknanya : Katakan wahai Muhammad bagi manusia : Sebutlah kamu sekelian akan nama Tuhan yang disembah dengan sebenar dengan lafaz Allah atau dengan lafaz Rahman yang dengan mana satu dari kedua lafaz ini yang kamu sebutkan nama-Nya maka sungguhnya kamu telah melakukan yang betul.” (Kitab Tafsir Al-Wasith)
Dan firman Allah :
وَاذْكُرُوا اللَّهَ كَثِيرًا لَّعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Artinya : “Dan sebutlah kamu semua akan Allah banyak-banyak pasti kamu semua mendapat kejayaan.” (Al-Anfal : 45)
Dan firman Allah :
يٰٓأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا اذْكُرُوا اللَّهَ ذِكْرًا كَثِيرًا
Artinya : “Wahai orang-orang yang telah beriman sebutlah kamu semua akan Allah dengan sebut yang banyak.” (Al-Ahzab : 41)
Dan firman Allah :
وَابْتَغُوا مِن فَضْلِ اللَّهِ وَاذْكُرُوا اللَّهَ كَثِيرًا لَّعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Artinya : “Dan carilah kamu semua dari kurnia Allah dan sebutlah kamu semua akan Allah banyak-banyak pasti kamu akan mendapat kejayaan.” (Al-Jumaah : 10)
Pada semua ayat di atas Allah menyuruh orang mukmin supaya berzikir dengan menyebut Allah.
Maka barang siapa menyebut lafaz Allah sahaja atau Rahman atau lain-lain dari nama-nama Allah atau lafaz yang lain seperti Subhanallah atau Alhamdulillah atau Allahuakbar maka orang itu telah dikira berzikir akan Allah maka orang yang berzikir sudah pasti mendapat ganjaran pahala dari Allah dan mendapat kejayaan.
DALIL HADITH
Telah diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a. :
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى لَا يُقَالَ فِي الْأَرْضِ اللَّهُ اللَّهُ
Artinya : “Sungguhnya Rasululah saw telah bersabda : Tidak akan berlaku kiamat sehingga tiada lagi dikata pada bumi ini Allah Allah.” (Hadith Riwayat Imam Muslim)
Dan pada lafaz yang lain juga riwayat Imam Muslim :
لا تقوم الساعة على أحد يقول الله الله
Artinya : “Tidak akan berlaku kiamat atas seorang yang berkata Allah Allah.”
Dan pada riwayat Al-Hakim sabda Nabi saw :
لا تقوم الساعة حتى لا يقال في الأرض : الله الله
Artinya : “Tidak akan berlaku kiamat sehingga tidak lagi dikata pada bumi Allah Allah.” (Al-Mustadrak)
Dan diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a. dari Nabi saw bersabda :
والذي نفس محمد بيده لينقضن الإسلام عروة عروة حتى لا يقال : الله الله
Artinya : “Demi diri Muhammad yang di dalam kekuasan Allah nanti akan terlerai ikatan Islam satu demi satu sehingga tidak lagi dikata orang : Allah Allah.” (Riwayat Imam Ibnu Abi Dunya)
Dan pada Riwayat Ali bin Abi Talib r.a. :
ذاك يخرج في آخر الزمان إذا قال الرجل : ( الله الله ) قتل
Artinya : “(Fitnah) itu akan keluar pada akhir zaman (masa Imam Mahdi) apabila seorang yang berkata Allah Allah nescaya akan dibunuh.” (Riwayat Imam Al-Hakim)
Dan diriwayatkan dari Atha’ Al-Khurasani katanya Said bin Musayyab bercerita tentang Bilal Ibnu Rabbah r.a katanya :
كان يعذب في الله عز وجل ، و كان يعذب على دينه فإذا أراد المشركون أن يقاربهم قال : الله الله
Artinya : “Adalah Bilal itu diazab kerana agama Allah dan dia diazab atas mempertahankan agamanya. Maka apabila kaum musyrikin hendak mendekati mereka itu Bilal akan berkata : Allah Allah.” (Riwayat Baihaqi dalam Syu’abul Iman dan Abdul Razzaq dalam Al-Mushannaf dan Ibnu Asakir dalam At-Tarikh dan Ibnu Abdil Barri dalam Al-Isti’ab)
Dan diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a. berkata :
لا تقوم الساعة وواحد يقول : ( الله الله )
Artinya : “Tidak akan berlaku kiamat sedang masih ada seorang yang berkata : Allah Allah.” (Riwayat Abi ‘Amr Ad-Dani dalam Al-Fitan)
Ternyata pada semua riwayat hadith-hadith ini menceritakan harusnya menyebut Allah Allah dan tidak ada suatu pun yang menyebut bahawa berzikir Allah Allah itu dilarang atau satu kesalahan.
Begitu juga tidak ada seorang ulamak pun yang mentakwilkan hadith di atas bahawa sebut Allah Allah itu artinya Suhanallah atau Alhamdulillah atau lainnya bukan sebut Allah sahaja.
RASULULLAH MENYURUH SEBUT ALLAH ALLAH
Diriwayatkan dari Aisyah r.a. katanya :
– أنَّ النَّبيَّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم جمَع أهلَ بيتِه فقال : ( إذا أصاب أحَدَكم غَمٌّ أو كَرْبٌ فلْيقُلِ : اللهُ اللهُ ربِّي لا أُشرِكُ به شيئًا )
Artinya : “Sungguhnya Nabi saw telah menghimpunkan ahlinya dalam rumah dan bersabda : Apabila seorang kamu ditimpa dukacita atau kesusahan maka hendaklah dia ucapkan : Allah Allah Tuhanku tiada sekutu bagi-Nya suatu pun.” (Sahih Ibnu Hibban)
Berkata Syeikh Abdul Karim Tattan anggota Majlis Ulamak Syria :
وبهذا يتبين أن الذكر بالاسم المفرد لا مانع منه شرعا ، إذ لم يرد نهي عنه من الشارع يفيد كراهته أو تحريمه
Artinya : “Dan dengan ini ternyata sungguhnya zikir dengan nama tunggal yaitu Allah sahaja tidak ada tegahan disisi syarak kerana tidak ada datang larangan daripada Allah dan Rasul yang memakruhkan atau mengharamkannya.”
Dan ada pun orang yang berkata tiada faedah menyebut nama Allah sahaja kerana tidak ada makna maka orang itu sebenarnya bukan sahaja jahil tentang nama Allah bahkan dia juga jahil dengan lafaz faedah itu sendiri.
Kesimpulan
Zikir adalah ibadah yang sangat dituntut oleh syarak dan dijanjikan dengan pelbagai ganjaran kebaikkan di dunia dan di akhirat.
Zikir artinya menyebut Allah dengan perlbagai lafaz yang datang di dalam Al-Quran dan Sunnah.
Antara lafaz yang datang dalam Quran disuruh kita sebut ialah lafaz Allah maka harus berzikir hanya dengan menyebut Allah Allah.
Pendapat yang paling kuat disisi ulamak zikir Lailahaillallah lebih afdhal dari lafaz Allah sahaja.
Berkata Syeikh Ibnu Hajar :
ذكر لا إله إلا الله أفضل من ذكر الجلالة مطلقا بلسان أهل الظاهر، وأما أهل الباطن فالحال عندهم يختلف باختلاف حال السالك
Artinya : “Zikir Laialahaillallah lebih afdhal dari zikir Allah sahaja dengan lisan disisi ahli zahir manakala disisi kalangan sufi maka berbeda ia dengan sebab berbeda hal salik itu sendiri.” (Kitab Fatawa Hadisiyah)
wallahua’lam
ustaz azhar idrus

Related Posts