Pasangan warga emas maut bersama, kereta bertembung lori


Sepasang suami isteri warga emas maut selepas kenderaan yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori dalam kemalangan di Jalan Miri-Bintulu di sini pagi semalam.

Mangsa yang dikenali sebagai Ling Miaw Chong, 64, dan isterinya Chai Ching Ching, 60, dari Kampung Cina, Marudi disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan.

Sebelum kejadian sekitar jam 9.15 pagi itu, pasangan warga emas terbabit yang menaiki sebuah kenderaan jenis pacuan empat roda sedang dalam perjalanan dari Miri ke Niah.

Setibanya di tempat kejadian, kenderaan mangsa telah bertembung dengan sebuah lori membawa muatan batu yang datang dari arah bertentangan.

Akibat pertembungan itu, kedua-dua mangsa tersepit dalam kenderaan mereka.

Manakala, pemandu lori berusia 51 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu, Penguasa Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Zon 6 Miri, Penguasa Kanan Bomba I Law Poh Kiong berkata pasukan bomba terdiri daripada enam anggota bergegas ke lokasi kemalangan sebaik menerima panggilan kecemasan jam 9.26 pagi.

Katanya, anggota bomba terpaksa mengambil masa beberapa minit untuk mengeluarkan mayat kedua-dua mangsa yang tersepit dalam kenderaan mereka.

Sejurus dikeluarkan, mayat pasangan warga emas itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Related Posts