7 tahun kahwin, Amir Raja Lawak & isteri tak stres belum dikurniakan anak


Meskipun sudah tujuh tahun mendirikan rumah tangga, pelakon dan pelawak Amir Raja Lawak reda masih belum dikurniakan cahaya mata.

Menurut laporan Harian Metro, pelawak berusia 34 tahun itu tetap bersyukur dengan kehidupan ketika ini dan tidak mengambil peduli sekiranya ada pihak melemparkan kata-kata buruk.

“Saya dari dulu memang macam ini. Kalau orang kecam pun saya buat tak tahu je. Orang kata, tak hidup dipuji tak mati dikeji.
“Kami tiada tekanan walaupun tiada anak. Saya dan isteri jalani hidup macam biasa saja,” katanya yang mengusahakan perniagaan Air Jagung Amirreka.

Pelakon filem Hantu Bonceng 2.0 itu berkata, dia dan isterinya Nur Intan Syafinaz tidak patah semangat dalam usaha untuk mendapatkan cahaya mata.

“Ada juga usaha yang dibuat dari segi perubatan. Urutan badan itu dan rawatan tradisional itu kami ada buat,” ujarnya.

Ditanya jika terdapat hasrat bagi mengambil anak angkat, dia mengakui tidak pernah terfikir mengenai perkara itu yang disifatkan mempunyai pelbagai risiko.

“Tak pernah terfikir. Takut kalau ambil anak orang tiba-tiba tak boleh nak teruskan. Kami pula yang akan kena kecam nanti.
“Saya fikir belum masanya lagi. Biar semua ada dulu macam kereta dan rumah. Biar betul-betul stabil dulu,” kongsinya lagi.

Untuk rekod, Amir atau nama penuhnya Mohammad Amirullah Azmi berkahwin dengan Intan pada 14 Mac 2015.

Sumber: Harian Metro (Affan Rostam)