Genap 40 hari berjuang di NICU, ibu terkilan anak ‘pergi’ angkara sikap cuai segelintir misi


Seorang ibu meluahkan rasa terkilan apabila bayi sulung mereka menerima layanan daripada segelintir jururawat yang tidak bertanggungjawab semasa menjalankan tugas di Neonatal Intensive Care Unit (NICU).

Menerusi perkongsian oleh wanita dikenali Nurul Iqa, bayi lelakinya bernama Putera Muhammad Fayyaz terpaks dimasukkan ke dalam wad NICU susulan degupan jantung yang lemah. Tidak cukup dengan itu, adik Fayyaz difahamkan kritikal kerana paru-parunya sudah melekat dengan najis sehingga menyebabkan anaknya tidak dapat bernafas sendiri.

Nurul Iqa berkata, anaknya diberi bantuan pernafasan oksigen pada kadar maksimum selain dimasukkan lapan jenis ubat  sebelum didiagnos menghidap jangkitan kuman dalam kahak pada dua minggu kemudiannya.

Apa yang lebih meruntunkan hati seorang ibu muda ini adalah jururawat bertugas ‘sedap’ tidur di meja belakang, sedangkan anaknya menangis teresak-esak tanpa suara dari pukul 2 pagi sampai pukul 3 lebih sehinggakan paras oksigen menurun bawah 80 lebih.

Ekoran mesin oksigen itu berbunyi, jururawat bertugas yang lain datang dan memarahi dirinya kerana menganggu anak kecil itu berehat walhal wanita itu hanya mampu berzikir untuk menenangkan anaknya.

“Tiba-tiba nurse yang duduk dengan nurse yang jaga adik datang marah ibu dan cakap; Ibu, jangan kacau dia sangat. Bagi dia rehat! Kemudian, ibu cakap pada nurse, anak saya sakit dan mulut dia banyak air liur yang keluar. Nurse itu boleh cakap nanti kami sedut air liur dan kahak dia. Ibu jangan kacau, baby!”luahnya.

Terang Nurul Iqa, punca anaknya menangis adalah berpunca daripada kecuaian jururawat bertugas memasukkan ubat ke bahagian paha yang salah.

“Nurse pagi beritahu anak saya sebenarnya sakit di tempat yang mereka letak di paha dan ubat dimasukkan di bahagian yang sudah lama sakit. Dan apabila mereka tukar, barulah anak Tiqa dapat tidur.”tulisnya.

Sejak dari kejadian itu, kesihatan anaknya semakin merosot sebelum menghembuskan nafas terakhir dalam pelukannya setelah genap 40 hari bertarung nyawa di NICU. Walaupun reda dengan pemergian anaknya, wanita itu masih terkilan dengan layanan cuai oleh segelintir jururawat bertugas sepanjang memantau keadaan bayi lelakinya di NICU.

Sumber: Facebook Nurul Iqa