Bob Lokman adu sakit belakang sebelum menghembuskan nafas terakhir


Hari ini, negara dikejutkan dengan berita pemergian penulis lirik tersohor, Bob Lokman atau nama sebenarnya Mohd. Hakim Lokman, 58.

Difahamkan, penulis lirik lagu Isabella yang dinyanyikan oleh kumpulan rock iaitu Search, sempat mengadu sakit kepada adiknya, Nik Azuddin Nik Yusoff sebelum menghembuskan nafas terakhir pada jam 1 tengahari tadi.

Menurut Nik Azuddin, arwah ada mengadu sakit belakang sehingga tidak boleh baring dengan sempurna sewaktu dia datang ke rumah abangnya pada jam 8 pagi tadi.

Maklum Nik Azuddin, dia ada memujuk arwah untuk dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian bagi mendapatkan rawatan. Pun begitu, arwah Bob Lokman enggan menerima dan menyambut pelawaan tersebut.

“Bagaimanapun, arwah menolak dan memaklumkan bahawa dia sudah berputus asa untuk menjalankan rawatan. Saya sedih melihat keadaannya dan hanya mampu menggosol belakang badan arwah selain memintanya bertahan untuk seketika.”ujarnya.
Selang beberapa jam selepas itu, Nik Azuddin dikejutkan dengan berita kematian abangnya.
“Selepas itu, saya pulang ke rumah pada pukul 11 pagi, namun, dikejutkan dengan berita kematian abang kira-kira dua jam kemudian,” katanya lagi.

Kredit foto: Utusan/Kamarul Bismi Kamaruzaman

Dalam pada itu, Nik Azuddin memberitahu, arwah abangnya sudah dua hari tidak mempunyai selera untuk makan dan dia hanya minum air sahaja dalam tempoh tersebut.

Sementara itu, anak kedua arwah Bob iaitu Omar Hakim Mohd. Hakim,28, berkata, jenazah bapanya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pulau Hilir  di sini kira-kira jam 9 malam ini.

Selain itu, Omar berkata arwah ayahnya sudah sakit sejak lebih 30 tahun lalu selepas dikesan sakit tulang belakang dan kemudiannya disahkan hidap sakit jantung, kencing manis dan paru-paru berair. Dan, dia cuma terlantar selepas mendapat rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) pada Mei lalu.

“Arwah sudah mengadu sakit belakang yang keterlaluan sejak dua hari lalu. Apabila saya mengajaknya ke hospital, dia tidak mahu,” ujarnya.

Terdahulu, Bob dilaporkan terpaksa bergantung nyawa dengan jantung kombinasi bateri iaitu sebuah alat bantuan jantung, Implantable Automatic Cardioverter Defibrilator (IADC) dan mendedahkan bateri jantungnya hanya berbaki 10 peratus serta boleh pergi menghadap Ilahi pada bila-bila masa.

Sekadar info, arwah meninggalkan seorang isteri dan tujuh orang anak yang berusia lapan hingga 28 tahun.

Sumber: Utusan Malaysia ( Rohana Mohd. Nawi)