Rakyat Malaysia sangat realistik keputusan tangguh ibadah haji - Duta Arab Saudi

Gambar hiasan, arkib NSTP
Keputusan kerajaan Malaysia menangguhkan penghantaran jemaah haji tahun ini adalah demi kepentingan bersama antara umat Islam bagi mengekang virus COVID-19, kata Duta Arab Saudi ke Malaysia, Datuk Dr Mahmoud Hussien Saeed Qattan.
Beliau yang mengikuti reaksi rakyat negara ini khususnya umat Islam di pelbagai platform berhubung keputusan penangguhan itu mendapati mereka memahami dan menerima keputusan dibuat kerajaan Malaysia.
"Saya mendapati rakyat Malaysia memahami dan menerima keputusan kerajaan Malaysia mengenai perkara ini. Ibadat haji adalah perkara besar dan penting di sisi rakyat (umat Islam) Malaysia dan mereka sangat realistik serta sedar kepentingan umat Islam di seluruh dunia," katanya, hari ini.
Pada 11 Jun lalu, Malaysia mengumumkan untuk menangguhkan pemergian jemaah haji bagi Musim Haji 1441 Hijrah ke tahun hadapan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Pada 23 Jun, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan untuk mengehadkan jemaah haji pada tahun ini hanya untuk penduduk yang tinggal di negara itu, susulan penularan wabak COVID-19.
Menurut kementerian itu, hanya sebilangan kecil penduduk daripada pelbagai kerakyatan yang tinggal di Arab Saudi akan dibenarkan menunaikan haji tahun ini.
Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam satu kenyataan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri pada 24 Jun lalu berkata, Malaysia menyambut baik pendirian Arab Saudi yang sedang mempertimbangkan untuk membenarkan ibadah haji bagi tahun ini diteruskan, namun terhad kepada rakyat negara itu serta rakyat negara Islam yang sudah berada di sana.
"Pendirian Arab Saudi dalam perkara itu bukan saja menggambarkan kecaknaan Khadimul Haramain al-Sharifain Raja Salman Abdulaziz dan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi terhadap umat Islam di seluruh dunia bagi memastikan ibadah ini dapat dilaksanakan dengan selamat berdasarkan perspektif kesihatan umum, malah bertepatan dengan konsep maqasid syariah iaitu hifz al-nafs (pemeliharaan nyawa)," kata kenyataan itu.
Mengulas lanjut, Mahmoud Hussien berkata, pendirian Malaysia menyambut baik pengumuman negaranya untuk meneruskan ibadah haji bagi tahun ini, mencerminkan hubungan erat antara kedua-dua negara sejak sekian lama.
"Mari sama-sama kita berdoa supaya wabak ini berakhir secepat mungkin," katanya.
Sehingga kelmarin, Arab Saudi mencatatkan 213,716 kes baharu COVID-19 dan 4,207 kematian berdasarkan kenyataan kementerian kesihatan negara itu.
Arab Saudi pada akhir Februari lalu turut memutuskan menggantung kemasukan jemaah untuk mengerjakan umrah di Makkah dan ziarah Masjid Nabawi, Madinah.
Pada pertengahan Mac, Arab Saudi memutuskan menghentikan semua penerbangan antarabangsa dan menyekat pergerakan keluar masuk ke beberapa bandar raya, termasuk Makkah dan Madinah. - BERNAMA