Curi dua peket Milo, wanita dijatuhkan hukuman penjara 14 bulan
Gara-gara mencuri dua peket Milo bernilai RM73 di sebuah pasar raya pada Mei lalu, seorang wanita dijatuhkan hukuman penjara selama 14 bulan oleh Mahkamah Majistret Marang hari ini.
Memetik laporan Utusan Online, tertuduh Suhaini Mohd yang juga penagih dadah mengaku bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda.
Gambar sekadar hiasan
Berdasarkan kejadian, pemilik pasar raya tersebut mengesan aksi mencurigakan tertuduh berusia 43 tahun itu menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) sekali gus mengekorinya.
Bagaimanapun, tertuduh bertindak melarikan diri dengan meninggalkan motosikal dinaikinya di Hentian Bas Marang sebelum ditahan di rumahnya di Kampung Baru Kuala Abang, Dungun pada 6 Jun lalu.
Untuk rekod, ibu empat cahaya mata itu mempunyai tiga rekod jenayah mencuri barangan pasar raya pada tahun 2019 dan 2021.
Suhaini yang didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Sumber: Utusan Online (Zaid Mohd. Noor)