Sebak, Pemergian ‘Kok Chi’ kehilangan besar dunia sukan Negara Kita


Pemergian Kok Chi kehilangan besar dunia sukan – PM

PEMERGIAN bekas Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi yang menghembuskan nafas terakhirnya Sabtu lalu disifatkan sebagai kehilangan besar kepada dunia sukan tanah air.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan amat menghargai segala khidmat bakti, jasa dan sumbangan dicurahkan mendiang.

Menurut beliau, khidmat bakti itu dicurahkan dalam kemajuan dan pembangunan sukan negara sebelum ini.

Sambil mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang, Perdana Menteri berharap semangat dan usaha mendiang terus menjadi inspirasi kepada Keluarga Malaysia.

“Menerima perkhabaran tentang Kok Chi yang meninggal dunia pada hari Sabtu lepas. 

“Takziah saya ucapkan kepada ahli keluarga mendiang kerana pemergian orang yang tersayang dan semoga diberikan ketabahan ketika berdepan saat-saat sukar ini,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Kok Chi dilaporkan meninggal dunia pada usia 83 tahun, Sabtu lalu.

Menurut pengumuman yang dikongsikan adik-beradik mendiang hari ini, upacara memberi penghormatan terakhir akan diadakan selama dua hari mulai esok di Nirvana Centre Kuala Lumpur.

Pengumuman itu menyebut upacara pengebumian akan berlangsung pada 10 pagi Jumaat ini dan jasad mendiang akan diarak ke Nirvana Crematorium Shah Alam untuk upacara pembakaran mayat.

Kok Chi telah menawarkan khidmatnya secara sukarela kepada MOM sejak 1974 dan berkhidmat dalam pelbagai jawatankuasa serta pasukan petugas sebelum dipilih sebagai setiausaha kehormat pada 1992.

Sumber Dan Rujukan